Wednesday, August 9, 2023

Panorama 2001 Kampung Bukit Goh

Lokasi SMK Bukit Goh adalah di Kampung Bukit Goh, yang terletak lebih kurang 20km ke barat laut bandar raya Kuantan. Bandar raya Kuantan adalah bandar terbesar di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga ibu negeri Pahang. Kampung Bukit Goh merupakan sebuah rancangan penempatan peneroka yang dibuka oleh FELDA pada 1hb Disember 1966. Para peneroka dari seluruh pelosok tanah air mula menduduki kampung ini pada 1hb Mac 1970.


Peta 2001 Kampung Bukit Goh. ©2023 Abdul Aziz Sanford.

Stesyen Shell

Selamat Datang ke FELDA Bukit Goh

Sekolah Menengah Agama Al-Maarif

Pejabat Telekom

Pejabat FELDA

Pejabat Pertubuhan Peneroka

Tabika KEMAS

Sekolah Rendah Agama

Masjid

Pasar

Pejabat Pos

Pondok Polis

Klinik Pergigian

Klinik Kesihatan

Sekolah Rendah Kebangsaan

Sekolah Menengah Kebangsaan

Rumah Guru


Pesanan Saudara Shafrul Afzam b Abd Rahman

 

Shafrul Afzam b Abd Rahman

"Assalamualakum w.b.t,

Mula-mula sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Abdul Aziz Sanford kerana memberi peluang kepada saya untuk berbicara sepatah dua kata di ruangan ini.

Sebelum itu, perlulah saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Shafrul Afzam bin Abd Rahman. Saya memang dibesarkan di Felda Bukit Goh dan bersekolah dari sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah di Bukit Goh. Dalam tempoh masa tersebut, banyaklah peristiwa yang suka dan duka berlaku. Sebagai insan kita tak pernah terlepas dari pengalaman tersebut.

Pada tahun 1983, tahun pertama saya menjejakkan kaki ke alam persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Goh. Masa itulah macam-macam kejadian lucu dan menakutkan. Yang lucunya, masa itulah saya mula belajar berdikari, contohnya kalau nak ke tandas, nak membeli di kantin dan sebagainya.

Yang menakutkan pula, pada masa itu, cikgu-cikgu pada masa itu, boleh dikatakan garang-garang belaka dan berbeza sekali pada masa ini. Mana tidaknya, kalau dulu ibubapa memesan kepada cikgu, “Pukullah anak saya cikgu kalau dia buat salah asalkan jangan patah tulangnya cukup."

Tapi sekarang, “Kalau cikgu pukul anak saya, saya akan buat laporan pada pihak atasan." Tapi saya percaya, masih ramai lagi ibubapa yang masih seperti zaman saya dahulu. Sungguh berat tugas seorang guru.

Pada tahun 1989, saya telahpun menjejakkan kaki ke SMKBG. Saya adalah bekas pelajar kelas 1SPU1 [Seni Perusahaan]. Pada tahun 1993 saya mengambil peperiksaan SPM.

Selesai sahaja peperiksaan tersebut, saya bekerja di Pelabuhan Kuantan sebagai Operator Pengeluaran di sebuah kilang kayu. Masa itulah saya rasakan antara kerja dengan belajar adalah tidak sama. Dengan baju yang kotor, dan keselamatan kita tidak terjamin. Saya nyaris-nyaris terpotong jari kerana mesin pemotong kayu.

Dari situlah saya berfikir, kalau kita tidak ada kelulusan, tidak ada pendidikan, kita cuma akan bekerja sebagai pekerja bawahan sahaja. Masa itulah kita akan di maki, di hamun dan sebagainya oleh majikan atau ketua jika ada kesilapan yang kita buat walaupun perkara kecil.

Tiba sahaja keputusan SPM, hari yang berdebar-debar itu, saya ke SMKBG untuk ambil keputusan. Alangkah terkejutnya .. saya telah gagal dalam SPM. Saya cuma mendapat SAP. Masa tu, menangis pun tak guna. Menyesal pun ada. Dahlah menghabiskan duit ibubapa, airmata ibu pun mengalir kerana kegagalan saya itu.

Saya akui, pada masa itu saya tidak peka pada pelajaran. Mungkin kerana saya fikir, pelajar kelas Sains tu bagus-bagus belaka. Petang-petang pula suka meronda dengan motosikal, kacau orang sana, kacau orang sini.

Setelah difikirkan semuanya, saya mengambil keputusan untuk mengambil sekali lagi peperiksaan SPM pada tahun 1994. Tapi kali ini saya mahu mengulang belajar. Saya risau akan ketinggalan kerana format SPM biasanya ada sedikit perubahan. Lebih baik saya mengulang dan kembali semula ke SMKBG. Biar malu sekejap tak mengapa, asalkan saya tidak susah kemudian hari.

Pada pertengahan tahun 1994 saya kembali ke SMKBG untuk belajar kembali. Pada masa tu kena pakai semula pakaian seragam sekolah. Malu, risau, segan semuanya ada. Tapi bila difikirkan masa depan tu, saya tak kisah.

Dan pada waktu itulah saya mendengar kata-kata memuji kerana sanggup menghadapi SPM buat kali ke dua dan tak kurang juga ada yang menghina sebab dulu saya gagal. Sakitnya dalam hati hanya Allah yang tahu. Akhirnya saya dapat juga tamatkan SPM buat kali ke dua dengan jayanya. Alhamdulillah.

Sementara menunggu keputusan SPM, saya bekerja lagi. Tapi  kali ini di Semambu pula. Apabila keputusan SPM keluar, alhamdulillah saya lulus walaupun tidaklah secemerlang mana. Saya berjaya melanjutkan pelajaran di ILP [Institut Latihan Perindustrian] di Gebeng Kuantan dalam bidang elektronik industri.

Selama setahun setengah di ILP, saya terpilih untuk tajaan Jabatan Tenaga Rakyat dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melanjutkan pelajaran di Bolton, United Kingdom pada tahun 1997 selama dua tahun untuk membuat HND.

Tapi, saya belum sempat membuat Degree lagi kerana pada masa tersebut ekonomi tidak mengizinkan. JPA memanggil saya pulang ke Malaysia semula pada 1998 kerana masalah kewangan. Sekarang ini saya sudah pun memiliki HND dan berharap JPA akan menghantar semula ke United Kingdom untuk menyambung lagi  pelajaran saya. Insyaallah.

Kini sudah dua tahun saya di Shah Alam dan bekerja dengan CIAST [Centre for Instructor And Advace Skill Training/Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan] dibawah Jabatan Tenaga Rakyat. Saya menjadi tenaga pengajar di CIAST dalam bidang Supervisory Skill untuk Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3 dan Latihan Pedagogy untuk pengajar dari ILP, IKM, IKBN dan sebagainya.

Kepada sesiapa yang berminat untuk belajar di bidang vokasional, yang ingin menjadi jurutera, tetapi tak layak masuk ke IPTA, bolehlah ke laman web Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan.

Sebelum mengakhiri, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengajar–pengajar yang telah banyak berjasa kepada saya seperti Cikgu Abdul Aziz Sanford, Cikgu Zaidi, Cikgu Hazlina, Pn. Anida, Cikgu Bakar, Cikgu Zainuddin Idris dan sesiapa yang telah menjadi pendidik saya sehingga dapat mencapai kejayaan pada hari ini. Terima kasih semua. Akhir kata dari saya:

Kegagalan Pada Hari Ini, Bukanlah Kegagalan Untuk Hari Esok."


Pesanan Saudara Maznan b Deraman

 

Maznan b Deraman

"Assalamualaikum buat semua guru dan kakitangan SMKBG. Saya pernah bersekolah di SMK Bukit Goh dari tahun 1985 hingga 1987.

Alhamdulillah, sekarang saya telahpun bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi dan sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah, buat adik-adik yang masih bersekolah di SMKBG, bulatkan azam dan tingkatkan usaha untuk berjaya di dalam pelajaran. Walaupun sekolah kita di luar bandar, insyaAllah kita juga mampu berjaya.

Saya telah buktikan ianya mampu dilakukan, begitu juga ramai lagi rakan-rakan bekas pelajar SMKBG."



Penghargaan | Web Team

Dari tahun 1999 hingga 2001, Web Team SMKBG dianggotai pelajar-pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang meminati bidang perkomputeran, khususnya Internet. Di antara tugas Web Team adalah mengumpul data, mengendalikan sesi temu ramah, mengambil gambar, merakam audio, menyunting bahan multimedia dan teks; serta menulis laporan. Kesemua tugas ini berfokus kepada usaha menyediakan bahan untuk di muat naik ke laman web SMKBG. 

Penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli Web Team, terutamanya Team Leader Mohd Khairul Nizam b Mohd Zuhan; di atas segala sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan. Tanpa sokongan dan bantuan pelajar-pelajar di bawah ini, tidak mungkin laman web sulung SMKBG dahulu, mahupun blog ini; menjadi kenyataan.









Penghargaan | Kakitangan dan Bekas Pelajar

Penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kakitangan dan bekas pelajar SMKBG berikut di atas segala sumbangan dan bakti yang telah dicurahkan. Tanpa sokongan dan bantuan mereka, blog ini tidak mungkin menjadi kenyataan.

Dokumen Lama dan Sejarah Lisan

Hajah Che Tom bt Omar
Kakitangan Pusat Sumber Sekolah dan penerokawati asal FELDA Bukit Goh

Allahyarham En Abd Rani b Abd Jalil
Kakitangan Makmal Sains SMK Bukit Goh 1977 - 2001

Pn Rohana bt Ismail
Kakitangan Pusat Sumber Sekolah

Cikgu Jamlos b Baba
Bekas guru SMRK Bukit Goh

Datuk Mohd Bakri b Abd Majid
Ketua Pengawas SMRK Bukit Goh 1978

Datin Siti Khadijah bt Zakaria
Penolong Ketua Pengawas SMRK Bukit Goh 1978

Imej Digital dan Analog

Cikgu Muhammad Zul b Hamzah
Cikgu Muhamad Nordin b Omar
Cikgu Ruhani bt Md Isa
Cikgu Hanifah bt Abas
Ustaz Hj Shafei b Hj Mohd Hasin
Cikgu Siti Robiah bt Ismail 



Penghargaan | Dokumen Lama dan Sejarah Lisan

Penghargaan | Dokumen Lama dan Sejarah Lisan

Penghargaan | Imej Digital dan Analog

Penghargaan | Imej Digital dan Analog


Latar Belakang Blog Ini

Pengunjung yang budiman, terima kasih kerana sudi melayari blog "SMK Bukit Goh dalam Kenangan." Untuk pengetahuan Tuan/Puan, penulis pernah berkhidmat di SMK Bukit Goh dari tahun 1984 hingga 2001. Isi kandungan blog ini dipetik daripada laman web sulung SMK Bukit Goh di GeoCities. Laman web ini dibangunkan hasil kerjasama Web Team SMK Bukit Goh, serta kakitangan dan bekas pelajar sekolah ini. Ianya telah dilancarkan secara rasmi pada 24hb Jun 2000 oleh ADUN Kawasan Sungai Lembing, YB Tn Hj Md Sohaimi b Hj Mohamed Shah, AMP. Walaupun GeoCities tidak wujud lagi, Tuan/Puan masih boleh mengakses laman web tersebut di Geocities.ws Web Archive Project. Sekian, harap maklum.



Tangkap Layar Laman Web Sulung SMK Bukit Goh