Wednesday, August 16, 2023

6 - 13 Jun 2001 | Perkhemahan PKBM di Kem Batu 10

Laporan dan gambar oleh Mohd Zarif b Hassan dan Mohd Elvi b Jusoh

Dari 6hb Jun 2001 hingga 13hb Jun 2001, 31 kadet PKBM SMK Bukit Goh telah menyertai Perkhemahan di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang. Beberapa pertandingan telah diadakan dan beginilah keputusannya:
Kawad - Tempat ketujuh
Rempuh Halangan - Johan
Pandu Arah - Tempat keempat
Menembak - Tempat keenam

SMK Bukit Goh berjaya menduduki tempat kelima secara keseluruhan, disebabkan perbezaan 1 mata [kekalahan dalam acara kawad]. Kerana SMK Bukit Goh berjaya menjadi johan acara Rempuh Halangan, kadet-kadet kami telah dipilih untuk mewakili Negeri Pahang di Perkhemahan Peringkat Kebangsaan di Kem Tangok [Bachok, Kelantan] dari 17hb Jun hingga 25hb Jun 2001.



Kadet PKBM SMK Bukit Goh di Kem Batu 10

Pertunjukan Kereta Kebal oleh 12 RAMD

Dua Ahli PKBM SMKBG dengan Senapang M16


21 - 25 Mei 2001 | Minggu Bahasa Melayu

Laporan oleh Mohd Asrul b Rumidi dan Khairil Azhar b Che Ruzlan
Gambar oleh Fauziah bt Elias

Dari 21 hingga 25 Mei 2001, SMK Bukit Goh telah mengadakan beberapa pertandingan sempena Minggu Bahasa, yang diadakan setiap tahun.

Pertandingan-pertandingan diadakan di dewan sekolah mulai 12:30 tengah hari sehingga 5:30 petang. Di antara acara yang dipertandingkan adalah drama, sketsa, deklamasi sajak, syair dan berbalas pantun.

Pertandingan-pertandingan disertai pelajar dari Ting. 1 hingga Ting. 5. Semua guru termasuk Puan Pengetua sendiri, sudi hadir untuk menyaksikan persembahan para peserta.

Memandangakan matapelajaran Sastera [KOMSAS] telah diperkenalkan, oleh itu semua peserta digalakkan untuk merujuk buku-buku sastera [KOMSAS] sebagai panduan. Ini adalah supaya peserta - peserta dapat memanfaatkan buku-buku tersebut sepenuhnya.

Semua peserta mampu menampakkan persembahan yang sangat baik terutamanya dalam acara drama dan sketsa. Ini membayangkan tahap komitmen dan semangat bekerjasama yang tinggi di antara pelakon-pelakon yang terlibat.

Para penonton tidak kering gusi dek gelagat sesetengah kumpulan drama, di sebalik itu dewan menjadi sunyi apabila peserta-peserta acara sajak mendeklamasikan sajak-sajak mereka.

Semua acara yang dipertandingan diadili oleh guru-guru dari Panitia Bahasa Melayu.

Sesungguhnya, Minggu Bahasa ini bukan sekadar berperanan untuk melengkapkan takwim tahunan sekolah, tetapi memainkan peranan yang penting dalam menimbulkan minat di kalangan pelajar terhadap pelajaran Bahasa Melayu.

Minggu Bahasa juga menjadi medan untuk pelajar-pelajar menunjukkan bakat masing-masing, yang selama ini terpendam. Ianya dapat terus meyakinkan pelajar untuk berhadapan dengan orang ramai tanpa adanya perasaan gugup dan lemas.

Kami yakin bahawa aktiviti Minggu Bahasa mampu meningkatkan kesedaran pelajar tentang pentingnya mata pelajaran Sastera dan Bahasa Melayu. Aktiviti ini harus diteruskan, dengan harapan menjana minda pelajar untuk lebih cemerlang di masa akan datang.



Pertandingan Drama

Pertandingan Syair

Pertandingan Berbalas Pantun


16 Mei 2001 | Sambutan Hari Guru

Laporan oleh Husni Wardiana Hassan, Muzaida Abd Manaf dan Nurulhuda Abd Wahab
Gambar tambahan oleh Janatun Naim bt A Rahman

Hari Guru 2001 disambut dengan meriah oleh warga SMK Bukit Goh pada pagi 16 hb Mei. Tema Kebangsaan Hari Guru pada tahun ini adalah "Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama." Tema di peringkat sekolah kami pula adalah "Hormat Guru, Berkat Ilmu." 

Aturcara Majlis


7:30pg
Para guru, jemputan dan pelajar mengambil tempat di tapak perhimpunan

7:40pg
Ucapan Pengerusi Majlis - Janatun Naim dari 5AB dan Mohd Fazli dari 3AB

7:45pg
Bacaan Al-Quran

7:50pg
Bacaan doa oleh Ustaz Zakeria b Suboh

7:55pg
Tazkirah Hari Guru oleh Tn Hj Zainal Ariffin b Darus

8:30pg
Ucapan Wakil Pelajar oleh Mohd Faizal b Che Harun dari 5AB

8:40pg
Ucapan Wakil Guru oleh Cikgu Jamal b Musa

8:50pg
Bacaan Perutusan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia oleh GPK I

9:10pg
Bacaan Perutusan Menteri Pendidikan Malaysia oleh Puan Pengetua

9:20pg
Lafaz Ikrar Guru

9:25pg   
Para guru menyanyikan lagu Guru Malaysia, Harapan Kami dan Di Sini Rumahmu dan Syurgamu.
Segmen ini diselaraskan oleh Cikgu Mastura bt Nadzri.

9:40pg
Penyampaian Hadiah Hari Guru

9:45pg
Sukaneka

10:20pg
Rehat. Para pelajar dijamu dengan makanan dan minuman percuma.

10:40pg
Acara Pentas

Persembahan Pelajar
Lagu nasyid bertajuk "Kasih Kekasih"
Bacaan syair oleh Siti Roziana dan Mohd Azhar dari 5AB
Dikir Barat bertajuk "Wahai Guru" oleh pelajar 5AG

Cabutan Guru Bertuah
Tibalah masa untuk guru di 'dera' oleh para pelajar. Acara kelakar yang diberi nama "Cabutan Guru Bertuah" ini telah dikendalikan dengan baik oleh dua pengacara, iaitu Mohd Faizal b Harun [5AB] dan Siti Roziana bt Mat Husin [5AB]. Guru 'bertuah,' yang namanya dicabut, diminta mengikut arahan pengacara-pengacara. Terima kasih kami ucapkan kepada guru-guru kerana begitu 'sporting.' Siapakah cikgu-cikgu tersebut, dan apakah bentuk persembahan 'paksarela' mereka?

Cikgu Mastura berduet dengan Mohd Azhar [5AB] menyanyikan lagu Hindustan bertajuk "Hamko Hamiset Choralo."

Cikgu Solahudin diminta menjadi pengacara dan membaca berita perlumbaan F1.

Cikgu Haryani berduet dengan Cikgu Ruhani Md Isa, menyanyikan lagu Melayu Asli bertajuk "Gurindam Jiwa."

Ustaz Zakeria diminta membaca berita dengan loghat Jawa.

Cikgu Zuzitah berduet dengan Yusrizal [pelajar], menyanyikan lagu "Pandang-pandang, Jeling-jeling."

Ustazah Norasnida dan Syed Anas [pelajar] melakonkan satu babak dari kartun Doraemon, di mana Ustazah memegang watak Doraemon dan Syed Anas, Nobita. Kami telah lama mendengar khabar angin tentang minat Ustazah kesayangan kami menonton siri Doraemon, dan kini semuanya terbukit benar.

Cikgu Hatijah Gan mendeklamasi sajak.

Cikgu Nur 'Ashiqin membaca pantun.

Pasangan paling romantik di SMK Bukit Goh, Papa Zek dan Mama Anida, melakonkan watak Tun Perpatih Putih dan Hang Li Po.

Cikgu Hanifah dan Cikgu Wan Norihan bergabung tenaga untuk mengiklankan barangan dapur.

Menjelang waktu Zohor, persembahan pun selesai dan warga SMK Bukit Goh mula meninggalkan kawasan sekolah, dengan seribu kenangan manis.


Para Hadirin di Tapak Perhimpunan

Pengerusi Majlis - Janatun Naim dan Mohd Fazli

Bacaan Doa oleh Ustaz Zakeria b Suboh

Tazkirah Hari Guru oleh Tn Hj Zainal Ariffin b Darus

Ucapan Wakil Pelajar - Mohd Faizal b Che Harun

Ucapan Wakil Guru - Cikgu Jamal b Musa

Bacaan Perutusan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia oleh GPK I

Bacaan Perutusan Menteri Pendidikan Malaysia oleh Puan Pengetua

Lafaz Ikrar Guru

Nyanyian Lagu Guru Malaysia

Penyampaian Hadiah Hari Guru

Acara Sukaneka

Persembahan Nasyid

Bacaan Syair oleh Siti Roziana dan Mohd Azhar

Persembahan Dikir Barat oleh Pelajar 5AB

Cikgu Mastura berduet dengan Mohd Azhar

Cikgu Haryani berduet dengan Cikgu Ruhani Md Isa

Cikgu Zuzitah berduet dengan Yusrizal

Cikgu Nur Ashiqin Membaca Pantun

Persembahan Papa Zek dan Mama Anida

Persembahan Cikgu Hanifah dan Cikgu Wan Norihan

 

28 April 2001 | English Fest di SMK Alor Akar

Laporan oleh Cikgu Hanifah bt Abas


Cikgu Hanifah bt Abas


English Fest 2001 telah berlangsung di Sek Men Keb Alor Akar [SMKAA], Kuantan pada 28hb April; dari 8:00 pagi hingga to 4:00 petang. Rombongan SMK Bukit Goh terdiri daripada semua guru Bahasa Inggeris dan 40 pelajar. Kesemuanya tidak sabar untuk bertemu kembali dengan Tn Hj Asruddin b Hj Abas, bekas guru Bahasa Inggeris SMKBG yang kini bertugas sebagai GPK I di SMKAA.


Tuan Haji Asruddin


Permainan BI yang dikendalikan oleh kami adalah "Spellbinder." Caranya agak mudah. Para peserta diberi satu perkataan yang tertulis di atas sekeping kad. Mereka kemudiannya dikehendaki menulis sebanyak 10 perkataan baru pada kertas jawapan, berdasarkan huruf-huruf yang terdapat di dalam perkataan yang telah diberikan. Sememangnya had masa dikenakan, tetapi kebanyakan peserta tidak menghadapi apa-apa masalah dengan syarat ini.

Ahli rombongan SMKBG dikehendaki bertugas mengikut syif [1 syif = 2 jam]. Sistem ini diadakan untuk membolehkan pelajar berehat atau berkunjung ke bilik pameran sekolah-sekolah lain. Para pelajar dari sekolah-sekolah lain di daerah Kuantan tidak henti-henti berkunjung ke bilik kami, sehingga keadaan menjadi kelam-kabut. Keadaan bertambah rumit dengan kehadiran beberapa pelajar [nama sekolah dirahsiakan] yang bersikap agak keterlaluan. Mujurlah tindakan cepat dan tepat oleh guru lelaki yang bertugas dapat menenangkan situasi.

Menjelang pukul 3:00 petang, bilangan pengunjung semakin berkurangan dan kami menarik nafas lega. Tepat pada pukul 4:00 petang, ahli rombongan SMKBG mengucapkan selamat tinggal kepada SMKAA dan menaiki bas untuk pulang ke Bukit Goh.






 

14 April 2001 | Kejohanan Olahraga Tahunan

Laporan oleh Khairul Nizam b Zuhan

Satu kejohanan olahraga telah dianjurkan oleh SMK Bukit Goh, Kuantan, Pahang pada 14 April tahun 2001. Kejohanan olahraga kali ke-17 yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh warga SMKBG serta penduduk setempat itu diberi nama "Debaran Cabaran SMKBG."

Debaran Cabaran SMKBG diadakan bertempat di padang SMK Bukit Goh dan disambut dengan meriah serta gilang-gemilang oleh para penyelaras dan ahli jawatankuasa induk kejohanan, para peserta serta tidak terkecuali oleh para tetamu undangan.

Kejohanan itu bermula pada jam 7.30 pagi iaitu pada awal kejohanan para peserta kejohanan bersedia di khemah masing-masing dan para jemputan mengambil tempat.

Seterusnya, pada jam 8.00 pagi ketibaan Yang Berhormat Tuan Hj Md Sohaimi bin Haji Mohamed Shah AMP., ADUN Sungai Lembing disambut oleh Puan Pengetua SMKBG serta guru-guru kanan sekolah. Beliau juga diiringi paluan kompang serta pembawa bunga manggar.

Acara seterusnya dimulakan dengan perbarisan lintas hormat yang diketuai oleh saudara Mohd. Fauzi dari Tingkatan 4. Acara perbarisan tersebut disertai oleh pembawa bendera dan pasukan beruniform seperti pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah [PBSM], Pasukan Pengakap, Persatuan Kadet Bersatu Malaysia [PKBM], Renjer Puteri dan Puteri Islam.

Para athlit dari rumah–rumah sukan turut serta dalam acara perbarisan, iaitu  athlit-athlit Rumah Mahmud [Merah], Rumah Muhammad [Kuning], Rumah Abdul Razak [Biru], dan Rumah Abdullah [Hijau] .

Nama-nama rumah tersebut diambil sempena nama Menteri-Menteri Besar Pahang iaitu Menteri Besar Pahang yang pertama, kedua, ketiga serta keempat.

Acara seterusnya dimulakan dengan ucapan oleh Puan Pengetua SMK Bukit Goh, Puan Hajah Meriam bt Haji Samah. Dalam ucapannya meliau menyatakan rasa bersyukur serta berterima kasih kepada para tetamu undangan serta para pengelola kejohanan. Seterusnya ialah ucapan perasmian oleh ADUN Sg. Lembing.

Selepas ucapan perasmian oleh YB ADUN Sg Lembing, acara diteruskan dengan upacara menaikan bendera kejohanan serta pembacaan ikrar kejohanan oleh saudara Che Mohd. Afizan dari tingkatan 5.

Untuk memberkati majlis, acara diteruskan dengan bacaan doa oleh Ustaz Haji Shafie b Haji Mohd Hasin dan disambung dengan persembahan oleh Pasukan Kadet Bersatu Sekolah, iaitu persembahan kawad kaki.

Persembahan kawad kaki oleh Pasukan Kadet Bersatu tersebut yang amat mengkagumkan itu telah mendapat tepukan yang amat gemuruh dari para penonton. Tahniah kami ucapkan kepada Cikgu Zaidi b Bidin, Ketua Penasihat PKBM.

Acara sukan dimulakan pada jam 8.30 pagi dan disertai oleh wakil-wakil dari keempat-empat rumah sukan. Antara acara yang dipertandingkan adalah acara lompat tinggi, lontar peluru, lempar cakera, lompat jauh dan acara lumba lari.

Pertandingan Akhir tarik tali di antara Rumah Kuning dan Rumah Biru merupakan acara yang paling mendapat perhatian daripada para penonton. Akhirnya, Rumah Kuning berjaya menumpaskan Rumah Biru.

Pada jam 9.30 pagi, acara sukan dihentikan seketika untuk rehat serta jamuan ringan, dan disambung semula pada jam 10.00 pagi.

Para belia dari kawasan setempat juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara yang khas diadakan untuk mereka iaitu acara "Lumba Motor Lambat."

Pada jam 11.30 acara sukan tamat dan acara penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang dan para undangan berlangsung. Hadiah dan cenderamata disampaikan oleh Puan Pengetua SMKBG.

Dalam kejohanan tersebut nampaknya Rumah Abdul Razak iaitu Rumah Biru menjadi juara buat julung kalinya dengan merampas takhta daripada Rumah Mahmud iaitu juara pada kejohanan sebelumnya.

Rumah Mahmud terpaksa tunduk dengan kedudukan kedua. Tempat ketiga dirangkul oleh Rumah Abdullah [Hijau] manakala Rumah Muhammad [Kuning] terpaksa berpuas hati dengan tempat terakhir.

Upacara penutup diteruskan pada jam 12.00 tengah hari iaitu upacara penyerahan bendera kejohanan kepada Puan Pengetua SMK Bukit Goh. Kejohanan tamat pada jam 12.30 tengah hari dengan tamatnya upacara penutup dan semua hadirin bersurai.

Kesimpulannya, kejohanan "Debaran Cabaran SMKBG" ini memberi banyak manfaat khasnya kepada para peserta dengan penerapan semangat tolong-menolong dan nilai murni yang diterapkan secara praktikal.



Sebahagian daripada warga Bukit Goh yang hadir

Ketibaan YB ADUN Sungai Lembing

Ketibaan YB diiringi paluan kompang

Perbarisan lintas hormat

Kadet PKBM

Rumah Merah

Rumah Kuning

Rumah Biru

Rumah Hijau

Ucapan Puan Pengetua

Ucapan perasmian oleh YB ADUN Sg Lembing

Upacara menaikkan bendera kejohanan

Bacaan ikrar kejohanan oleh Che Mohd. Afizan

Bacaan doa oleh Ustaz Shafie b Mohd Hasin

Persembahan kawad kaki oleh kadet PKBM

Pertandingan akhir tarik tali antara Rumah Kuning dan Rumah Biru

Acara untuk para belia - lumba motor lambat

Rumah Biru muncul sebagai juara kejohanan