Thursday, August 10, 2023

Pembukaan Rasmi SMRK Bukit Goh

Isi kandungan laporan ini berdasarkan imbasan artikel berjudul "Pembukaan Rasmi Sekolah" dalam Majalah Berilmu Bahagia 1978 Jilid Satu. Majalah tersebut dipinjamkan kepada penulis oleh Hajah Che Tom bt Omar. Terima kasih, Hajah Che Tom.


Hajah Che Tom bt Omar


Pada hari Isnin, bersamaan 18hb Julai 1977, sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, En Chan Siang Sun, JSM., JP., PJK.

Upacara Pembukaan Rasmi ini juga merupakan kemuncak kepada aneka aturcara sambutan Ulangtahun ke-12 FELDA yang bermula pada 17hb Julai, di mana Bukit Goh menjadi tuan rumah bagi semua rancangan FELDA di Wilayah Timur.

Tiga bulan sebelum tarikh bersejarah ini, Guru Besar, para guru, pelajar dan ibubapa mereka bertungkus lumus membuat berbagai persediaan supaya hari yang ditempa itu benar benar bersejarah.

Walaupun Projek Pintu Gerbang Perasmian mengalami berbagai masalah, ianya akhirnya disempurnakan oleh pelajar, guru, ibubapa dan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan, yakni En Husin. Terima kasih, En Husin.

Saat yang ditunggu menjelang tiba. YB Chan disambut meriah. Paluan kompang riuh - rendah mengiringi beliau masuk ke kawasan sekolah.

Setelah YB Chan memeriksa Barisan Kehormatan, beliau diperkenalkan dengan Ahli Jawatan Kuasa Sambutan dan para guru.

Sejurus kemudian Upacara Perasmian pun dimasyhurkan. Tirai terunai dan nama sekolah terukir indah, terserlah di dinding tembaga merah Papan Tanda Perasmian.

Selesai sudah Upacara Perasmian, kini menyusul pula Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah. 19 orang pelajar berpeluang menerima hadiah dari YB Chan sendiri.

Apakala tamat Majlis Ucapan dan Penerimaan Hadiah, YB Chan berkenan mengabadikan kunjungan beliau ke sini dengan menanam sepohon pokok pine di halaman sekolah, di sebelah blok KHB.

Setelah menanam pokok pine, YB Chan merasmikan pameran kerja tangan pelajar di Bilik PESENI dan juga acara Pestaria.

Setelah selesai melawat gerai gerai Pestaria, majlis jamuan ringan telah diadakan di Bilik Sains Rumahtangga. Selain daripada menjamu selera; para hadirin dihiburkan dengan pertunjukkan tarian tradisional Melayu dan Pencak Silat oleh para pelajar SMRKBG.

YB Chan berangkat meninggalkan majlis pada pukul 12:00 tengahari. Walaubagaimanapun, Pestaria berjalan dengan rancaknya sehingga pukul 10:00 malam.

Dengan itu tercatitlah sudah satu peristiwa penting yang tentunya terukir indah di dalam lembaran sejarah sekolah ini.



Pintu Gerbang Perasmian

Upacara Menepung Tawar

Papan Tanda Perasmian

YB Chan Menerima Cenderamata daripada Guru Besar

YB Chan Menanam Sepohon Pokok Pine

Pameran di Bilik PESENI

Jamuan Ringan di Bilik Sains Rumahtangga

Persembahan Tarian Tradisional Melayu

Persembahan Pencak Silat


No comments:

Post a Comment