Thursday, August 10, 2023

Berilmu Bahagia | Lagu Sekolah SMKBG

Lagu: Abdul Hapif Hamdan
Senikata: Lokman Hamzah dan Zainuddin Idris
Klik di SINI untuk mendengar lagu "Berilmu Bahagia"


Skor Lagu "Berilmu Bahagia"


Berilmu Bahagia
Bangunlah dan bersatu
Menjunjung cita mulia
Disiplin teras utama
Bina insan sempurna

Demi harumkan nama
Tingkatkan usaha kita
Kejayaan pasti nyata
Berilmu bahagia

Hanya satu di hati kami
Untuk Allah juga sekolah
Berdiri megah di bawah bendera
Berjuang demi nusa bangsa

Geraklah, geraklah
Masa tidak menanti kita


Mercu Tanda SMK Bukit Goh

Pada hari Isnin, bersamaan 18hb Julai 1977, SMRK Bukit Goh dibuka dengan rasmi oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, En Chan Siang Sun, JSM., JP., PJK. Pada hari yang sama juga, YB Chan telah menanam sepohon pokok pine yang kini diperakukan sebagai Mercu Tanda sekolah. Beberapa tahun kemudian, pada tanah lapang di sebelah pokok pine tersebut, Tuan Haji Solahudin b Hj Daud telah berusaha membangunkan sebuah kolam yang dikelilingi kehijauan. Taman itu dinamakan Taman Kolam, dan masih wujud pada hari ini.



YB Chan menanam pokok pine pada 18hb Julai 1977

Pokok pine pada tahun 2001

Taman Kolam pada tahun 2001

Pokok pine pada tahun 2010



Plak Mercu Tanda Sekolah

Taman Kolam pada tahun 2010



Lencana SMK Bukit Goh





Sebiji buah yang menjadi rekabentuk lencana ini adalah disifatkan sebagai benih pengetahuan yang baik yang sentiasa disemaikan kepada pelajar - pelajar sekolah ini, dan diharapkan akan mendatangkan hasil yang baik kelak.

Merah, warna yang melambangkan keberanian dan kejujuran menjadi warna buku yang beralaskan rehal, memberi gambaran timbunan ilmu pengetahuan yang tidak terhad, patut direbut oleh setiap pelajar demi untuk bekalan hidup yang akan datang. Ilmu pengetahuanlah yang dapat menjamin kebahagiaan seseorang pada masa hadapan.

Rehal berwarna biru membawa maksud kejernihan dan ketulinan ugama, satu pengetahuan yang sangat berguna bagi semua manusia yang mengakui keesaan Allah s.w.t. Bidang ugama menjadi garis panduan pelajar - pelajar sekolah ini di samping aktiviti - aktiviti lain.

Kuning, yang menjadi warna latarbelakang dalam lencana ini memberikan gambaran bahawa  kakitangan dan pelajar sekolah ini sentiasa taat kepada Raja dan Negara Malaysia tercinta, serta menjunjung tinggi prinsip - prinsip Rukunegara.

Bulan Sabit yang bergabung antara warna merah dan biru melambangkan perpaduan yang erat di antara kaum. Sekolah ini sentiasa membuka pintu kepada semua pelajar, tanpa mengira bangsa, keturunan atau kepercayaan mereka; sesuai dengan dasar Rukunegara dan Falsafah Pendidikan Negara.

Gabungan bintang dan kompas di atas latarbelakang berwarna putih membayangkan betapa tinggi dan murninya harapan dan cita - cita sekolah ini untuk melengkapkan pelajar - pelajarnya dengan ilmu pengetahuan yang sempurna agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan masa depan yang kian banyak cabarannya. Kompas melambangkan betapa seseorang itu memerlukan bimbingan dan pedoman yang baik bagi mencapai segala cita - cita murninya. Kebahagiaan sejati hanya dapat dicapai melalui ilmu:

Berilmu Bahagia



Pembukaan Rasmi SMRK Bukit Goh

Isi kandungan laporan ini berdasarkan imbasan artikel berjudul "Pembukaan Rasmi Sekolah" dalam Majalah Berilmu Bahagia 1978 Jilid Satu. Majalah tersebut dipinjamkan kepada penulis oleh Hajah Che Tom bt Omar. Terima kasih, Hajah Che Tom.


Hajah Che Tom bt Omar


Pada hari Isnin, bersamaan 18hb Julai 1977, sekolah ini dibuka dengan rasminya oleh YB Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, En Chan Siang Sun, JSM., JP., PJK.

Upacara Pembukaan Rasmi ini juga merupakan kemuncak kepada aneka aturcara sambutan Ulangtahun ke-12 FELDA yang bermula pada 17hb Julai, di mana Bukit Goh menjadi tuan rumah bagi semua rancangan FELDA di Wilayah Timur.

Tiga bulan sebelum tarikh bersejarah ini, Guru Besar, para guru, pelajar dan ibubapa mereka bertungkus lumus membuat berbagai persediaan supaya hari yang ditempa itu benar benar bersejarah.

Walaupun Projek Pintu Gerbang Perasmian mengalami berbagai masalah, ianya akhirnya disempurnakan oleh pelajar, guru, ibubapa dan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan, yakni En Husin. Terima kasih, En Husin.

Saat yang ditunggu menjelang tiba. YB Chan disambut meriah. Paluan kompang riuh - rendah mengiringi beliau masuk ke kawasan sekolah.

Setelah YB Chan memeriksa Barisan Kehormatan, beliau diperkenalkan dengan Ahli Jawatan Kuasa Sambutan dan para guru.

Sejurus kemudian Upacara Perasmian pun dimasyhurkan. Tirai terunai dan nama sekolah terukir indah, terserlah di dinding tembaga merah Papan Tanda Perasmian.

Selesai sudah Upacara Perasmian, kini menyusul pula Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah. 19 orang pelajar berpeluang menerima hadiah dari YB Chan sendiri.

Apakala tamat Majlis Ucapan dan Penerimaan Hadiah, YB Chan berkenan mengabadikan kunjungan beliau ke sini dengan menanam sepohon pokok pine di halaman sekolah, di sebelah blok KHB.

Setelah menanam pokok pine, YB Chan merasmikan pameran kerja tangan pelajar di Bilik PESENI dan juga acara Pestaria.

Setelah selesai melawat gerai gerai Pestaria, majlis jamuan ringan telah diadakan di Bilik Sains Rumahtangga. Selain daripada menjamu selera; para hadirin dihiburkan dengan pertunjukkan tarian tradisional Melayu dan Pencak Silat oleh para pelajar SMRKBG.

YB Chan berangkat meninggalkan majlis pada pukul 12:00 tengahari. Walaubagaimanapun, Pestaria berjalan dengan rancaknya sehingga pukul 10:00 malam.

Dengan itu tercatitlah sudah satu peristiwa penting yang tentunya terukir indah di dalam lembaran sejarah sekolah ini.



Pintu Gerbang Perasmian

Upacara Menepung Tawar

Papan Tanda Perasmian

YB Chan Menerima Cenderamata daripada Guru Besar

YB Chan Menanam Sepohon Pokok Pine

Pameran di Bilik PESENI

Jamuan Ringan di Bilik Sains Rumahtangga

Persembahan Tarian Tradisional Melayu

Persembahan Pencak Silat


Pembinaan Blok A, B, KHB dan Kantin

Kerja-kerja meratakan tapak pembinaan disusuli dengan proses pembinaan Blok A, B, KHB dan Kantin. Bangunan SMRK Bukit Goh siap sepenuhnya pada hari Isnin, 13hb Oktober 1975. 


Dalam Pembinaan


Merekalah yang mendirikan bangunan SMRKBG

Tiang bangunan mula didirikan

Dari Kiri: Blok B dan Blok A

Dari Kiri: Blok B, Kantin, Blok A dan Blok KHB

Blok A dan Tapak Perhimpunan

Blok B

Blok KHB


Pembinaan Siap Sepenuhnya


Dari Kiri: Blok A, Tapak Perhimpunan, Blok KHB dan Kantin

Dari Kiri: Blok B dan Blok A

Dari Kiri: Kantin, Blok A, Tapak Perhimpunan dan Blok KHB


Kerja - Kerja Meratakan Tapak Pembinaan Sekolah

Kerja-kerja meratakan tapak pembinaan bangunan SMRK Bukit Goh bermula pada hari Rabu, 15hb Mei 1974.






Sejarah Awal SMK Bukit Goh




SMK Bukit Goh di tubuhkan pada 7hb Januari 1974 dengan nama rasmi Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Bukit Goh. Ini disebabkan ketentuan Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa sekolah ini hanya akan menempatkan pelajar Ting. 1 ke Ting 3. 

Warga sulung SMRK Bukit Goh terdiri daripada 36 pelajar Ting. 1 dan dua guru,  yakni Allahyarham Cikgu Ibrahim b Osman [Guru Besar Pertama] dan Cikgu Mohd. Azam b Abdullah. Para guru dan pelajar terpaksa menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Goh pada sesi petang kerana bangunan sekolah mereka belum wujud lagi.

Pembinaan bangunan SMRK Bukit Goh bermula pada 15hb Mei 1974 dan siap sepenuhnya pada 13hb Oktober 1975. Pada tarikh tersebut, 138 pelajar [3 kelas] berserta 5 orang guru mula berpindah ke sekolah baru mereka.

Pada tahun 1976 bilangan kelas bertambah menjadi 7 kesemuanya [234 pelajar] dan tenaga pengajar seramai 11 orang. Pada tahun ini juga kumpulan pertama pelajar Ting 3 dari sekolah ini menduduki peperiksaan SRP dengan pencapaian 65.1 % lulus. Pada tahun 1977 pula bilangan kelas bertambah menjadi 10 kesemuanya [338 pelajar] dan tenaga pengajar seramai 15 orang.

Pada tahun 1988, di bawah kepimpinan Allahyarham Cikgu Abdul Razak bin Mohamed, sekolah ini dinaikkan taraf dari Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan [SMRK] ke Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK]. Lima buah kelas Ting 4 [satu kelas Aliran Sains dan empat kelas Aliran Sastera] ditubuhkan untuk menampung 172 pelajar lepasan Sijil Rendah Pelajaran [SRP].



Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Goh

Allahyarham Cikgu Ibrahim b Osman